MPPM iktiraf Pakar Industri (Is.), Penghormatan buat individu berpengalaman.

Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) terus komited dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui pengiktirafan rasmi kepada tokoh industri yang berjaya.

Presiden Kebangsaan MPPM, Prof Madya Zam@Ab Razak Zamri berkata, pengiktirafan Pakar Industri (IS) diasaskan di bawah Perlembagaan MPPM Fasal 4(i) dengan memberi penghormatan kepada individu dengan pengalaman lebih lima tahun dalam bidang masing-masing.

Katanya, sebagai badan yang berperanan dalam memperkasakan perniagaan dan usahawan Malaysia, inisiatif itu penting bagi menonjolkan usahawan dan profesional tempatan yang selama ini kurang mendapat perhatian sewajarnya di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ramai usahawan yang sudah memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, tetapi usaha mereka tidak diiktiraf secara meluas.

“MPPM mengambil langkah ini untuk memperbetulkan keadaan supaya pengiktirafan ini turut menjadi sumber motivasi kepada komuniti perniagaan untuk terus berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pakar Industri MPPM di sini, baru-baru ini.